Task 1.0 Komentarku Bersulam Neutral
March 8, 2006 by atochsmart2
Sudah banyak komen dan pendapat tentang program realiti televisyen di luar sana. Aku tak mahu ulas yang itu. Masing-masing ada pendapat mereka. Ada yang menyokong, ada yang membantah. Setakat ini, sudah ada 26 jenis program realiti TV di Malaysia (Mohd Nasif Badruddin, wartawan Harian Metro). Tak perlulah aku sebut satu-persatu. Letih kalau nak sebut. Tajuknya saja yang berbeza tapi natijahnya adalah sama. Cuma yang buat aku kecewa, kebanyakannya adalah berbaur bakat nyanyian segera. Dilonggokkan dengan peserta yang ingin mencuba nasib sumbangkan suara.
___
Aku lebih suka berdiri di antara Timbalan Perdana Menteri (TPM) kita dengan Fauzie Akim dalam portal hidayahnet. Kata TPM “Kita tidak perlu mengikut budaya Barat secara membuta tuli termasuk mencedok secara bulat-bulat rancangan seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia yang adegan-adegannya melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya orang Timur”. Aku setuju dengan pendapatnya. Maknanya program realiti perlu diacu mengikut budaya kita. Perlu ditapis dan perhalusi agar dapat disesuaikan dengan nilai ketimuran. Janganlah main cedok saja. Adegan berpelukan dan berpegangan tangan bukan sesama muhrim amat memalukan umat. Ada pula yang sanggup menangis. Aku khuatir ini akan menjadi ikutan remaja kita. Dalam komentar Fauzie Akim memberi penegasan terdapat tiga perkara penting iaitu Islam melarang umatnya meniru budaya sesuatu kaum, kayu pengukur sebenar adalah hukum syarak dan tugas negara adalah menguatkuasakan hukum. Pemimpin negara harus berpegang kepada slogan “Kami adalah hakim (pemerintah) yang bertugas untuk menghukum”. Kenapa kesalahan jalan raya kita begitu tegas menghukum, tapi adegan maksiat depan mata asyik bersilat lidah?
___
Jadi, antara dua pendapat ini aku ambil jalan tengah. Sebab aku juga ikuti semua racangan realiti ini bersama keluarga. Tak boleh nak lari. Ia sebahagian dari hiburan keluarga. Aku berdiri sama dengan Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM Prof. Dr. Wan Zawawi Ibrahim. Program sebegini mempunyai baik dan buruknya. Aku yakin. Tapi aku belum pasti, kalau disenaraikan yang mana lebih banyak. Hujah utama ianya ada pro dan kontra. Aku sederhana dalam hal ini. Baiknya, program sebegini jadi medan bagi mereka menguji bakat dan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan diri dari tercebur ke dalam kancah yang penuh pancaroba. Ia juga berupaya membina personaliti dan penampilan peserta. Ada asas pembelajaran yang diperolehinya.
___
Keburukannya, aku lihat ada elemen terlampau dan ekstrem sehingga kehidupan di sebalik tabir ditayangkan setiap hari. Ada yang ketagih melihatnya. Secara tak langsung ia telah mencuri masa remaja untuk melakukan ibadah lain yang lebih berfaedah seperti menulis blog, membaca, bersukan, beriadah dan yang sewaktu dengannya. Program ini digunakan untuk mengaut keuntungan melalui undian SMS. Ia mengundang pelbagai kesan negatif apabila ada yang terlalu teruja hingga sanggup berhabis ratusan ringgit hanya untuk mengundi idola mereka. Ada pula yang terlalu fanatik menjadikan sesetengah peserta program realiti TV sebagai contoh paling ideal. Aku tengok juga tapi tak pernah mengundi. Ada rasa macam membazirlah.
___
Kesimpulannya, aku rasa sesetengah program TV perlu dikaji dan dimodifikasi agar ianya lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding dengan keburukan. Baik jadi tauladan, buruk jadi sempadan. Bukalah mata hati, tanya iman sendiri.